top of page

PERATURAN

ADAT

MUKADDIMAH

Assalamualaikum wbt.

 

Penyediaan peraturan ini adalah bertujuan untuk melengkapkan pengurusan dan pentadbran Silat Seni Gayong aliran ADMAR.Walaupun ada usaha penulisan peraturan ini, namun didapati maklumat yang terlalu luas untuk dirujuk sebagai sebuah dokumen yang hanya membincangkan perkara peraturan secara khusus dan terperinci dan tidak mencakupi perkembangan semasa.

 

Dengan demikian penulisan Peraturan Adat ini dirujuk semula kepada Ahli Lembaga Penasihat Waris Zuriat dan Badan Ahli Kehormat Waris Kerabat ADMAR untuk mendapat pandangan mengenai kandungan dan format persembahannya.Walaupun kandungan dokumen ini dipersetujui dimuatnaik dalam web (gayongadat.com), namun mengedarkannya dalam bentuk cetakan juga disyorkan untuk tujuan kemudahan simpan dan rujuk pada keadaan-keadaan tertentu.Dokumen ini juga sesuai untuk dijadikan sebagai item dalam pakej penyampaian Sandang Berjawatan.Ini bermakna seseorang yang menerima sandang bukan sahaja menerima sandang, watikah sandang, bahkan juga dokumen Peraturan Adat.

 

 

Pertubuhan Waris Kerabat ADMAR Malaysia

NAMA

1. Pengurusan badan adat pada peringkat pusat adalah terdiri dari:

a. Lembaga Waris Kerabat/Mutlak

b. Lembaga Waris Amanah

c. Lembaga Adat Kebangsaan

2. Pengurusan badan adat pada peringkat negeri ialah Lembaga Adat Negeri

TEMPAT URUSAN

3. Tempat urusan badan adat pada peringkat pusat ditentukan oleh Lembaga Adat Kebangsaan.

4. Tempat pengurusan badan adat pada peringkat negeri ditentukan oleh Lembaga Adat Negeri masing-masing.

TUJUAN / MATLAMAT

5. Kewujudan badan adat ialah untuk menentukan supaya:

a. pelaksanaan Silat Seni Gayong Malaysia terkawal dan teratur pengurusannya dari aspek pentadbiran,                kewangan, adat-istiadat dan pelajaran,

b. membentuk keperibadian yang berhemah dan mulia dalam kalangan generasi pemimpin masyarakat silat,

c. membangun dan membentuk jatidiri murid-murid silat.

KEAHLIAN AHLI BADAN ADAT

6.  Semua orang yang telah menjalani upacara majlis perlimau tapak (lelaki) atau perlimau seni (perempuan) adalah seorang ahli kepada badan adat yang disebut sebagai  murid Silat Seni Gayong Malaysia.  Dengan status ini mereka berhak untuk belajar, berlatih, menerima bengkung, memegang sandang dan memegang jawatan adat apabila ditunjuk dan dilantik oleh badan adat pada peringkatnya.

7.  Seorang murid Silat Seni Gayong hendaklah mempunyai sijil pengiktirafan menjalani upacara perlimau bagi menuntut haknya seperti dalam Peraturan 6.  Dalam upacara perlimau seseorang itu akan menjalani upacara akad berguru, ikrar taat setia dan mandi (limau/seni).

PERBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

8.  Perberhentian seorang murid adalah atas dasar permintaannya atau berlaku perlanggaran ikrar kesetiaan (Peraturan 9)  yang dilafaz ketika menjalani upacara perlimau.

9.  Lantikan terbatal dan kuasa sandang gugur sekiranya pemegang atau penyandang:

a. meletak jawatan atau;

b. uzur dan tidak mampu menjalankan tugas;

c. disabitkan salahlaku jenayah oleh mahkamah atau;

d. meninggal dunia

STRUKTUR PENGURUSAN BADAN ADAT

10.

PENAUNG AGONG

WARIS MUTLAK

IMAM KHALIFAH AGONG

TIMBALAN IMAM KHALIFAH AGONG

KIPAS EMAS

BADAN ADAT KEBANGSAAN

  • Waris Amanah

  • Lembaga Waris Amanah

  • Pengerusi Lembaga Adat Kebangsaan

  • Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan

BADAN ADAT NEGERI

  • Penaung

  • Imam Khalifah

  • Timb Imam Khalifah

  • Kipas Emas

  • Khalifah Besar

  • Lembaga Adat Negeri

  • Majlis Gurulatih Negeri

11.  Pelaksanaan Silat Seni Gayong pada asalnya adalah berdasar kepada pengurusan adat.  Pengurusan ini telah ada sistem tadbirnya sendiri, kemudian dipertingkatkan dengan penubuhan Majlis Gurulatih dan Pentadbiran Pertubuhan  supaya pengurusan bidang-bidang berkaitan lebih berfokus. Badan Adat distrukturkan mengikut hirarki dan dilambangkan dengan pemakaian sandang-sandang.  Sandang-sandang ini ditentukan fungsi atau jawatannya.  Pada peringkat negeri sandang berjawatan diatur seperti berikut:

a. Penaung Negeri (kerabat istana negeri)

b. Imam Khalifah (1)

c. Timbalan Imam Khalifah (1)

d. Kipas Emas (1)

e. Khalifah Besar (4)

f. Waris Beradat (14)

g. Ketua Beradat (14)

h. Khalifah Kanan (ikut bilangan Khalifah/Sri Kandi)

i. Khalifah/Sri Kandi (ikut bilangan Khalifah Mudah/Sri Kandi Muda)

j. Khalifah Muda/Sri Kandi Muda (ikut bilangan gelanggang)

12.  Pada peringkat kebangsaan struktur Badan Adat ditetapkan seperti berikut:

a. Penaung Agong (Kerabat Istana Perak)

b. Waris Mutlak

c. Imam Khalifah Agong (1)

d. Timbalan Khalifah Agong (1)

e. Kipas Emas (1)

f. Waris Amanah (1)

g. Lembaga Waris Amanah (3-7)

h. Pengerusi Lembaga Adat Kebangsaan (1)

i. Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan (1)

KUASA LANTIKAN JAWATAN

13. Penaung, Imam Khalifah Agong,Timbalan Imam Khalifah Agong dan Waris Amanah adalah ditunjuk dan dilantik oleh Waris Mutlak. Kuasa tertinggi dalam mengendalikan lantikan jawatan-jawatan adat kebangsaan, jawatan utama adat negeri dan pemakaian  sandang adalah kuasa Waris Amanah yang diturunkan oleh Waris Mutlak bagi mengendali pengurusan pelajaran dan adat-istiadat setelah diberi nasihat dan disokong Lembaga Waris Amanah pertubuhan masing-masing.  Namun begitu pencalonannya adalah dari Badan Adat Negeri kecuali bagi jawatan-jawatan pada peringkat kebangsaan.  Pencalonan dan lantikanya oleh Waris Amanah. Waris Amanah adalah ditunjuk dan dilantik oleh Waris Kerabat/Mutlak.

14. Diturunkan kuasa perlantikan jawatan-jawatan Waris Beradat dan ke bawah pada peringkat negeri kepada Imam Khalifah Negeri atau Timbalan Imam Khalifah Negeri (sekiranya jawatan Imam Khalifah tidak diisi atau tidak aktif) setelah mendapat pandangan dan sokongan Khalifah Besar.

15. Jawatan-jawatan utama pada peringkat negeri adalah ditunjuk oleh Waris Amanah setelah mendapat nasihat dan sokongan Lembaga Waris Amanah.  Walaupun begitu pencalonannya adalah dari Badan Adat Negeri.  Jawatan-jawatan utama termasuklah:

a. Penaung Negeri

b. Imam Khalifah

c. Timbalan Imam Khalifah

d. Kipas Emas

e. Khalifah Besar

f. Pengerusi Lembaga Beradat

g. Pengerusi Majlis Gurulatih

FUNGSI BADAN ADAT

16. Waris Kerabat  adalah merupakan seseorang yang berketurunan langsung dari darah Allahyarham Dato’ Meor Rahman Hashim (ADMAR).  Mereka mewarisi dan pemilik segala ciptaan (pelajaran dan adat-istiadat) ADMAR. Salah seorang dalam kalangan Ahli Waris Kerabat diangkat sebagai ketua (Waris Mutlak).  Ketua ini adalah pewaris bengkung Pelangi Hitam Cula Sakti VII (Harimau Pelangi  Agong Mahkota Sakti)  bagi mewakili mereka dalam hal menunjuk dan melantik Penaung, Waris Amanah dan lain-lain jawatan utama adat.

17. Orang ini dipilih dan ditentukan berkesanggupan untuk memikul tanggungjawab  dan memutusbicara ke atas dasar-dasar pengurusan (pelajaran dan adat-istiadat) dan perlantikan jawatan utama dalam Silat Seni Gayong Malaysia.

18. Lembaga Waris Amanah  adalah lantikan atas surat kuasa yang diturunkan oleh Allahyarham Dato’ Meor bertarikh 8 September 1989.  Surat itu menjelaskan bahawa Waris Amanah boleh membentuk sebuah lembaga yang disebut sebagai Lembaga Waris Amanah.  Lembaga ini hendaklah dianggotai oleh  7 (tujuh) orang gurulatih yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dan luas dalam  adat-istiadat dan pelajaran  untuk membantu (menasihat) mentadbir dan menentukan kelangsungan Silat Seni Gayong Malaysia.

19. Lantikan Ahli Lembaga Waris Amanah adalah secara tunjuk oleh Waris Amanah seperti mana lantikan yang dilakukan oleh Dato’ Meor  (3 orang), Lembaga ini diperlukan untuk membantu mengawalselia perjalanan Silat Seni Gayong termasuk perkara-perkara pentadbiran dan kewangan.

20.  Dalam mengawalselia hal-hal adat-istiadat dan pelajaran, Waris Amanah menunjuk dan melantik  Pengerusi Lembaga Beradat  dan Majlis Gurulatih Kebangsaan dan Negeri.  Pada peringkat negeri,  pemegang jawatan Pengerusi Lembaga Beradat dan Pengerusi Majlis Gurulatih dicalon oleh  Badan Adat Negeri berdasarkan kepada pemerhatian (sandang, bengkung, kepimpinan dan sumbangan).  Nama yang dicadangkan akan diangkat untuk mendapat sokongan dan kelulusan Lembaga Waris Amanah dan kemudiannya pengesahan oleh Waris Amanah.

21.  Waris Kerabat adalah merupakan institusi sokongan kepada pelaksanaan Silat Seni Gayong.  Ahli kepada institusi ini ialah dalam kalangan ahli keluarga Dato’ Meor Abdul Rahman, dan ahli masyarakat umum yang dipilih. Ahli ini disebut sebagai Ahli Kehormat Waris Kerabat.  Persetujuan untuk menerima keahlian Ahli Kehormat adalah dirujuk dan diputuskan oleh Waris Mutlak.  Penubuhan institusi Waris Kerabat ini telah dipersetujui oleh Waris Mutlak pada 1 Oktober 2016. Pada 6 Oktober 2020 institusi ini telah didaftar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) sebagai Pertubuhan Waris Kerabat ADMAR Malaysia.

22. Badan Adat adalah sebuah institusi yang merangkumi pemegang sandang adat bagi tujuan mengawal dan mengendali perkara-perkara adat-istiadat, pelajaran, pentadbiran dan kewangan supaya menepati falsafah serta matlamat kewujudan Silat Seni Gayong dalam negara dan serantau.  Bagi tujuan penyelarasan fungsinya supaya berfokus dan teratur, dan berkesinambungan, maka institusi ini dilaksanakan pada 2 (dua) peringkat seperti berikut:

  1. Badan Adat Kebangsaan         -           membuat dasar

  2. Badan Adat Negeri                 -          melaksana dasar

23. Badan Adat Kebangsaan bertanggungjawab untuk merangka dasar-dasar pengurusan adat-istiadat, pelajaran, pentadbiran dan kewangan Bagi menjalankan fungsi ini, maka terlebih dahulu hendaklah ia membentuk Lembaga Adat Kebangsaan dan melantik pemegang-pemegang jawatan seperti di Peraturan 12.

24. Badan Adat Negeri bertanggungjawab untuk menterjemah dan melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Badan Adat Kebangsaan.  Bagi melaksanakan fungsi ini, maka terlebih dahulu hendaklah  ia membentuk Lembaga Beradat Negeri dan melantik pemegang jawatan seperti di Peraturan 11.

25. Lembaga Adat Kebangsaan adalah sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk merancang dan menyelesia perjalanan Badan Adat Kebangsaan dan mengurusetiakan pelaksanaan badan Lembaga Waris Amanah dan Waris Kerabat.  Fungsi asasnya ialah turut menyelia perihal pengisian dan lantikan jawatan adat pada peringkat pusat dan jawatan-jawatan utama adat pada peringkat negeri.

26. Lembaga ini  juga mengurusetiakan mesyuarat dan perjumpaan Lembaga Waris Amanah, di samping menjaga kebajikan Waris Amanah dan penglibatnnya dalam mesyuarat serta perjumpaan yang diadakan.  Ahli Lembaga ini adalah Pengerusi-Pengerusi Lembaga Beradat Negeri. Jawatan Setiausaha, Bendahari dan ahli tambahan (mengikut keperluan pengurusan) ditunjuk dan dilantik oleh Pengerusi Lembaga Beradat Kebangsaan.

27. Pengurusan Lembaga Beradat Kebangsaan hendaklah dilengkapi sekurang-kurangnya jawatan-jawatan berikut:

 

  1. Pengerusi (1)

  2. Timbalan Pengerusi (1)

  3. Setiausaha (1)

  4. Bendahari (1)

  5. Ahli-ahli (mengikut bilangan negeri)

  6. Ahli tambahan (mengikut keperluan)

28. Lembaga Adat Negeri (ahli) dilantik dalam kalangan pemegang sandang sekurang-kurangnya Waris Beradat.  Pengerusi Lembaga setelah ditunjuk dan dilantik oleh Waris Amanah hendaklah melantik ahli-ahlinya mengikut keperluan dan kesesuaian bagi melaksanakan fungsinya dan memastikan pengisian dan lantikan jawatan adat pada peringkat negeri.  Lembaga juga hendaklah mengurusetiakan mesyuarat dan perjumpaan Badan Adat Negeri. Agenda mesyuarat adalah berfokus kepada pelaksanaan perkara-perkara pentadbiran, kewangan, pelajaran dan adat-istiadat.

29. Pengurusan Lembaga Beradat Negeri hendaklah dilengkapi sekurang-kurangnya jawatan-jawatan berikut:

 

  1. Pengerusi (1)

  2. Timbalan Pengerusi (1)

  3. Setiausaha (1)

  4. Bendahari (1)

  5. Ahli-ahli (mengikut keperluan)

30. Kipas Emas adalah pegawai yang bertanggungjawab untuk penyelesaian konflik dan disiplin yang timbul dalam  pengurusan Silat Seni Gayong.  Perlantikan Kipas Emas Negeri ditunjuk oleh Waris Amanah setelah dinasihat dan disokong oleh Lembaga Waris Amanah.  Pencalonan adalah dari Badan Adat Negeri.  Kipas Emas adalah jawatan hakim di sesebuah negeri. 

 

Pemegang jawatan berperanan untuk menerima, menyiasat dan seterusnya menjatuhkan hukuman kepada ahli yang melanggar peraturan dan syarat adat-istiadat dan kegurulatihan.  Jawatan ini dilantik dalam kalangan murid Silat Seni Gayong yang mempunyai pengetahuan luas dalam hal adat-istiadat dan kegurulatihan disamping syarat-syarat taraf sandang, bengkung dan kebijaksanaan

31. Di antara pemegang jawatan Kipas Emas negeri, akan dilantik seorang (1) sebagai Kipas Emas Kebangsaan.  Permasalahan yang tidak boleh diselesaikan pada peringkat negeri hendaklah dirujuk kepadanya atau jika terdapat rayuan dan memerlukan pertimbangan semula keputusan pada peringkat negeri.

32. Khalifah Besar memberi fokus kepada  4 bidang pengurusan (adat-istiadat, pelajaran, kewangan dan pentadbiran).  Setiap Khalifah Besar bertanggung jawab kepada satu bidang pengurusan ini. Khalifah besar adalah dilantik dalam kalangan pemegang sandang sekurang-kuranya Waris Beradat.  Badan Adat Negeri mencalonkan pegawai kepada Lembaga Waris Amanah untuk mendapat persetujuan dan pengesahan oleh Waris Amanah.

33. Jawatan Khalifah Besar dipegang oleh tidak lebih dari empat (4) orang  di setiap negeri. Mereka bertanggungjawab mengawalselia hal-hal yang dinyatakan. Penyandang jawatan ini adalah proksi kepada Imam/Timbalan Imam Khalifah sesebuah negeri. Khalifah-Khalifah Besar ini boleh memilih untuk memimpin dan mengurus  salah satu bidang mengikut kepakaran, namun demikian  apabila membuat keputusan dan memberi arahan, ianya berdasarkan kepada persetujuan bersama ke empat-empat Khalifah Besar.

34. Ketua Beradat dan Waris Beradat adalah kumpulan pemegang sandang yang bertanggungjawab merancang dan mengawalselia pelaksanaan Silat Seni Gayong pada peringkat negeri. Pemegang sandang Ketua Beradat  adalah dilantik dalam kalangan pemegang sandang Khalifah Kanan.  Pemegang sandang Waris Beradat adalah dilantik dalam kalangan pemegang  Ketua Beradat. Dalam kalangan Waris Beradat maka diangkat untuk pencalonan pemegang jawatan Khalifah Besar dan Kipas Emas apabila terdapat kekosongan jawatan-jawatan berkaitan.

35. Khalifah Kanan/Sri Kandi Kanan bertanggungjawab untuk mentadbir pelaksanaan Gayong Malaysia dalam semua bidang (adat-istiadat, pelajaran, kewangan dan pentadbiran).  Seorang Khalifah Kanan/Sri Kandi Kanan hendaklah bertangunggungjawab kepada empat (4) orang pemegang sandang Khalifah/Sri Kandi. Seorang Khalifah/Sri Kandi hendaklah bertanggungjawab kepad empat (4) orang pemegang sandang Khalifah Muda/Sri Kandi Muda.    Manakala Khalifah Muda/Sri Kandi Muda adalah pegawai yang bertanggungjawab kepada pelaksanaan dasar pada peringkat gelanggang.

36. Lembaga Adat, Majlis Gurulatih dan Pentadbiran mempunyai struktur pengurusannya masing-masing.  Dalam hubungan ini  badan pentadbiran mempunyai peranan dan bidangkuasa  eksklusif berlandaskan Perlembagaan, manakala Lembaga Beradat dan Majlis Gurulatih mempunyai peraturan dan  bidang kuasanya sendiri mengikut amalan pengurusan yang diwarisi dari Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman. 

 

Arahan dan salur rangkaian tadbir organisasi Pertubuhan adalah berpunca dari YDP organisasi.  Tatacara tadbirnya merujuk kepada Perlembagaan yang dibentuk mengikut panduan dan kelulusan ROS. Manakala arahan dan salur rangkaian tadbir Adat dan Majlis Gurulatih adalah bersumber dari Waris Amanah yang dinyatakan dalam Peraturan  Adat dan Peraturan Majlis Gurulatih

37. Jawatan-jawatan atau penyandang Khalifah Kanan, Khalifah dan Khalifah Muda bertanggungjawab untuk mengawalselia pelaksanaan adat-istiadat, pelajaran, pentadbiran dan kewangan mengikut peringkat (hiraraki) berikut:

 

  1. Khalifah Muda mengawalselia pelaksanaan adat-istiadat, pelajaran, pentadbiran dan kewangan di gelanggang

  2. Khalifah mengawalselia Khalifah-Khalifah Muda

  3. Khalifah Kanan mengawalselia Khalifah-Khalifa

38. Bilangan jawatan Khalifah Kanan dan Khalifah adalah bergantung kepada kepadatan gelanggang yang dikelompokkan mengikut kesesuaian dan keselesaan pengurusan daerah/negeri (jarak, kepadatan dan pentadbiran agensi berkaitan – seperti  daerah pendidikan, daerah polis, kawasan parlimen dsb nya.) masing-masing.

39. Dalam sistem struktur adat Silat Seni Gayong   bilangan pemegang sandang Ketua Beradat ialah tidak melebehi 14 orang dan bilangan penyandang Waris Beradat ialah juga tidak melebehi 14 orang. Jumlah tersebut adalah jumlah maksima yang boleh diwujudkan.  Kumpulan penyandang sandang kedua-dua ini  berfungsi sebagai penggerak badan adat.  Mereka adalah ahli kepada Badan Adat Negeri. Dalam kalangan ahli penyandang ini, akan dibentuk Lembaga Adat Negeri.  Mereka bersidang bagi merancang dan melaksanakan aktiviti adat-istiadat termasuk hal-hal pengisian jawatan adat serta penganugerahan sandang.  Lembaga Beradat Negeri adalah urus setia kepada persidangan Badan Adat Negeri masing-masing.

40. Sekiranya terdapat bilangan pemegang sandang melebihi bilangan jawatan,  maka pemegang sandang yang tidak memegang jawatan itu dibenarkan untuk memakai sandang yang diterima.  Jika berlaku sedemikian, Lembaga Adat Negeri bolehlah mengatur supaya pegawai yang berkaitan digilir-gilirkan mengisi jawatan pada tempuh setiap 3 tahun.

41. Bagi pelantikan dan penganugerahan sandang Imam Khalifah Negeri, dasar pencalonan layak   adalah merujuk kepada pemegang jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar atau gurulatih yang terkanan sesebuah negeri. Sekiranya penerima sandang tidak lagi memegang jawatan tersebut, maka kuasa sandang yang diterima gugur  Oleh kerana sandang ini adalah sandang berjawatan, maka penerima sandang hendaklah diperlimau  terlebih dahulu jika orang yang dicalonkan belum diperlimaukan.

42. Jawatan Timbalan Imam Khalifah Negeri hendaklah dilantik dalam kalangan orang yang berguru (mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam pelajaran dan adat) persilatan Silat Seni Gayong negeri berkenaan.  Tujuannya ialah supaya Imam Khalifah boleh merujuk dan dapat membuat keputusan yang menepati dengan dasar adat-istiadat serta pelaksanaan Silat Seni Gayong.  Dalam ketiadaan Imam Khalifah tidak dapat melaksanakan tugasnya, perjalanan silat hendaklah dikendalikan oleh Timbalan Imam Khalifah  untuk menyambung urusan.

MESYUARAT

43. Setiap badan adat seperti di Perkara 1 dan 2 dikendaki mengadakan mesyuarat pengurusan sekurang-kurang sekali (1) setahun bagi mengawalselia pelaksanaan aktiviti yang dikendalikan pada peringkat masing-masing.  Bilangan mesyuarat boleh ditambah berdasarkan kepada keperluan terutamanya dalam membuat keputusan-keputusan dasar.

44. Dalam keadaan jika terdapat keperluan mendesak dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka dibolehkan pihak urus setia (Lembaga Beradat Kebangsaan) mendapat maklumbalas ahli (rasmi) yang dihantar dengan mengguna teknologi hubungan dalam talian dalam tempuh (14 hari) dari notis dikeluarkan.

45. Ahli mesyuarat adalah dalam kalangan yang dilantik menganggotai setiap badan pengurusan seperti dalam Peraturan 1 dan 2.  Jika terdapat bukan ahli yang hadir, maka orang berkenaan (wakil) didaftar sebagai turut hadir.  Cukup korum tidak mengambilkira orang berkenaan.  Ahli yang tidak dapat hadir boleh memberi proksi melalui wakil yang dilantik kepada mesyuarat akan sokongannya terhadap keputusan yang dibuat, maka jika demikian, ahli tersebut disenaraikan dalam senarai kehadiran sebagai hadir.

46. Pada peringkat kebangsaan hendaklah diadakan mesyuarat-mesyuarat pengurusan berikut sekurang-kurangnya sekali setahun:

 

  1. Lembaga Waris Amanah

  2. Lembaga Adat Kebangsaan

  3. Majlis Gurulatih Kebangsaan

47. Pada peringkat negeri hendaklah diadakan mesyuarat-mesyuarat pengurusan berikut sekurang-kurangnya sekali setahun:

 

  1. Badan Adat Negeri

  2. Lembaga Adat Negeri

  3. Majlis Gurulatih Negeri

48. Lembaga Adat Negeri hendaklah mengatur pelaksanaan fungsi sandang, menyusun dan menjadualkan mesyuarat pengurusan dan operasi terutamanya pada lapisan struktur Khalifah Besar, bagi mengawalselia perjalanan Khalifah Kanan dan Khalifah/Sri Kandi mengendalikan adat-istiadat, pelajaran, petandbiran dan kewangan mengikut kawasan/daerah.  Khalifah Muda/Sri Kandi Muda sebagai pelaksana pada peringkat gelanggang hendaklah  dibimbing dan diselia secara rapi bagi memastikan pengajaran dan latihan  dilaksanakan mengikut objektif dan falsafah yang dianjurkan.

49. Waris Beradat dan Ketua Beradat adalah puncak pengurusan kepada pentadbiran sandang-sandang khalifah di negeri.  Mereka adalah ahli kepada Badan Adat Negeri yang juga melihat kepada pengisian jawatan-jawatan dalam struktur adat.  Waris Beradat dan Ketua Beradat hendaklah menjadi pendesak, pembimbing dan pemudahcara  kepada pemegang sandang-sandang khalifah.

50. Imam Khalifah atau Timbalan Imam Khalifah (jika ketiadaan Imam Khalifah) atau Khalifah Besar yang terkanan (jika ketiadaan Timbalan Imam Khalifah)  hendaklah mempengerusikan mesyuarat Badan Adat Negeri). Lembaga Adat Negeri adalah urus setia kepada mesyuarat ini.  Mesyuarat dihadiri oleh semua Khalifah Besar.

51. Agenda mesyuarat pengurusan hendaklah diatur seperti berikut:

 

  1. Ucapan Pengerusi

  2. Membentang dan meluluskan Minit mesyuarat yang lalu

  3. Perkara berbangkit dari minit mesyuarat yang lalu

  4. Laporan Setiausaha

  5. Laporan Kewangan (Bendahari)

  6. Laporan Jawatankuasa Kerja

  7. (adat-istiadat, pelajaran, pentadbiran dan kewangan)

  8. Usul

  9. Hal-hal lain

52. Laporan Jawatankuasa Kerja hal-hal adat-istiadat hendaklah mengenai perkara acara-acara perlimau, mandi minyak, khatam keris dan penyampaian sandang. Hal-hal pelajaran hendaklah memaklumkan perkara  silibus, ujian kenaikan bengkung, gurulatih dan program pembangunan gurulatih, manakala hal-hal pentadbiran hendaklah isu berkaitan perlantikan pemegang jawatan adat dan gurulatih, penyerahan sijil-sijil persilat dan gurulatih.  Perkara kewangan hendaklah mengenai kutipan dan perbelanjaan, fidyah perlimau, yuran dan bayaran yang dikenakan atas acara-acara adat dan program pembangunan (kursus/bengekl/ seminar) gurulatih dan persilat.

53. Tidak ada secara rasmi wujudnya Lembaga Beradat atau Majlis Adat pada peringkat daerah atau cawangan.  Walaupun begitu tiada larangan untuk menubuhkan jawatankuasa kerja bersifat sementara jika timbul keperluan. Badan Adat hanya ada pada peringkat kebangsaan dan negeri.

54. Persidangan Imam-Imam Khalifah Negeri akan dipengerusikan oleh Imam atau imbalan Khalifah Agong mengikut keperluan.  Persidangan ini adalah untuk memaklumkan akan perkembangan Silat Seni Gayong di negeri-negeri  perkara-perkara perluasan pengajaran.

SANDANG

55. Sandang adalah merupakan budaya yang diwujudkan dalam Silat Seni Gayong bagi memberi pengiktirafan kepada individu yang telah memberi sumbangan kepada perkembangan (Sandang Kehormat) Silat Seni Gayong, dan manakala untuk memberi pengiktirafan kepada murid (Sandang Berjawatan) Silat Seni Gayong yang telah mempamirkan dan membuktikan mempunyai keupayaan memimpin dan menunjukkan kesungguhan mengembangkan Silat Seni Gayong.  Selain dari sandang yang dinyatakan, Badan Adat juga mewujudkan Sandang Khas, iaitu sandang yang diberi kepada murid atau individu  yang diberi gelaran yang diiktiraf kerana kecemerlangannya atau kedudukannya dalam komuniti Silat Seni Gayong.

56. Sandang Berjawatan yang diisenaraikan ialah sebanyak sebelas  (11) jenis.  Syarat menerima sandang telah ditetapkan mengikut peringkat bengkung, dan jenis sandang terakhir yang disandang oleh penerima selain dari pengalaman dan jawatan adatnya.  Jawatan-jawatan yang dipakaikan sandangnya adalah merujuk kepada Peraturan 10.  Senarai sandang adalah seperti berikut:

 

  1. Seri Mahkota Agong Cula Sakti

  2. Seri Mahkota Agong Pelangi Sakti

  3. Seri Mahkota Agong Cula Pelangi

  4. Seri Mahkota Agong Bintang Pelangi

  5. Seri Mahkota Agong Relang Pelangi

  6. Seri Mahkota Bintang Pelangi

  7. Seri Mahkota Relang Pelangi

  8. Seri Mahkota Cahaya Pelangi

  9. Seri Bintang Pelangi

  10. Seri Relang Pelangi

  11. Seri Cahaya Pelangi

  12. Seri Pelangi

57. Sandang Kehormat yang diisenaraikan ialah sebanyak lapan (8) jenis.  Sandang yang diberi adalah atas sifat anugerah dan ianya diberi kepada orang awam yang berjasa kepada Silat Seni Gayong. Jenis sandang yang dianugerah adalah merujuk kepada senarai terkini keutamaan persekutuan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.  Senarai sandang adalah seperti berikut:

 

  1. Mahkota Agong Seri Pelangi Sakti

  2. Mahkota Agong Seri Bintang Pelangi

  3. Mahkota Agong Seri Relang Pelangi

  4. Mahkota Seri Bintang Pelangi

  5. Mahkota Seri Relang Pelangi

  6. Mahkota Seri Cahaya Pelangi

  7. Mahkota Cula Pelangi

  8. Mahkota Bintang Pelangi

SANDANG

58. Sandang Khas diwujudkan untuk diberi kepada orang-perseorangan yang mempunyai kedudukan khas bagi menjaga kelangsungan  Silat Seni Gayong dalam aspek adat-istiadat, pelajaran, pentadbiran dan kewangan selain dari mereka yang sifat dan kebolehan yang cemerlang.  Terdapat tiga (3) Sandang ini yang diwujudkan:

 

  1. Ahli Lembaga Waris Amanah dan Waris Mutlak

  2. Ahli Waris Kerabat

  3. Ahli Kehormat Waris Kerabat

  4. Singa Malaya

  5. Panglima Hitam

59. Pemberian dan penganugerahan sandang hendaklah dirujuk kepada Badan Adat Negeri masing-masing.  Jika penerima sandang melibatkan jawatan adat kebangsaan dan jawatan-jawatan utama adat negeri (Peraturan 13,14 dan 15) maka hendaklah mendapat sokongan dan kelulusan Lembaga Waris Amanah dan pengiktirafan Waris Amanah setelah dicalonkan oleh Badan Adat Negeri.

60. Begitu juga kepada penerima Sandang Kehormat sekiranya penerima sandang adalah penjawat awam  dan politik pada taraf agensi pusat dan pimpinan utama negeri.  Penganugerahan Sandang Khas dikehendaki mengikut aturan yang sama.  Manakala lain-lain sandang  adalah atas budi bicara pengurusan Badan Adat Negeri masing-masing.

PENYAMPAIAN SANDANG

61. Bagi memantapkan perkembangan Silat Gayong, acara ini perlu diperluaskan, terutamanya acara penyampaian Sandang Kehormat. Penyampaian Sandang Berjawatan hendaklah dibataskan kepada keperluan dan kekosongan jawatan adat di daerah dan di negeri.  Jika terdapat keperluan melantik lebih dari jumlah jawatan, maka perlu ditentukan jumlah yang bertugas itu mengikut jumlah yang ditetapkan.  Selebihnya memakai sandang berkaitan hanya pada tujuan sebagai kelengkapan di majlis-majis adat.  Mereka hendaklah ditempatkan bersesuaian dengan kedudukan kekananan sandang.

62. Penyampaian hendaklah dikendalikan dengan penuh sopan dan beradab.  Penyampaiannya hendaklah bersaksi, disampaikan oleh pemegang sandang yang selayaknya, dan lafaz penyerahan serta penerimaan disebut dengan jelas dan nyata (rujuk surat pekeliling berkaitan berkaitan).

63. Merujuk kepada Surat Pekeliling Adat - Penyampaian Sandang Silat Seni Gayong Malayisa hendaklah disampaikan oleh pemegang Sandang Berjawatan mengikut kelayakan sandang.  Syarat umumnya penyampai Sandang hendaklah pemegang sandang yang lebih tinggi dari sandang yang hendak disampaikan.

64. Semua pegawai adat dan  tetamu dalam kalangan murid Gayong hendaklah berpakaian Kod 1 (Baju Kebangsaan Hitam Bertanjak).  Sandang hendaklah dipakai jika ada). Penerima Sandang Berjawatan hendaklah juga berpakaian Kod 1 dan memakai sandang (jika ada), manakala Penerima Sandang Kehormat berpakaian Kod 2 (Baju Kebangsaan Hitam Bersongkok.  Hendaklah memakai sandang jika ada)

65. Setiap orang yang menerima sandang, hendaklah menerima terlebih dahulu surat tawaran rasmi, dan kemudiannya setelah menerima sandang hendaklah menerima watikah sandang dan surat rasmi perlantikan jawatan yang berkaitan. Manakala bagi penerima Sandang Kehormat, surat rasmi ucapan tahniah dan harapan  sokongan berterusan disampaikan dalam tempuh segera (7 hari).

PAKAIAN

66. Terdapat 4 (empat) jenis pakaian.  Setiap satunya ditentukan rupa bentuk dan kesesuaian pemakaianya adalah mengikut acara atau majlis yang dihadiri. Keterangan ilustrasi gambar jenis pakaian adalah dirujuk kepada Buku Panduan Adat-Istiadat  dan juga di laman web gayongadat.com Kesemua pakaian bertanah hitam dan bercorak songkit benang emas.

67. Terdapat 4 (empat) jenis pakaian.  Setiap satunya ditentukan rupa bentuk dan kesesuaian pemakaianya adalah mengikut acara atau majlis yang dihadiri. Keterangan ilustrasi gambar jenis pakaian adalah dirujuk kepada Buku Panduan Adat-Istiadat  dan juga di laman web gayongadat.com Kesemua pakaian bertanah hitam dan bercorak songkit benang emas.

68. Pakaian Kod 2 dirujuk kepada pakaian lelaki dan wanita untuk tujuan menghadiri majlis rasmi yang ditafsirkan bukan majlis adat.  Lelaki memakai baju kebangsaan penuh berwarna hitam dan bersongkok tanpa sandang.  Wanita memakai baju kurung atau kebaya labuh bertudung, juga tanpa sandang.

69. Pakaian Kod 3 dirujuk kepada pakaian kerja yang dipakai untuk tujuan bekerja dan acara-acara berkaitan dengannya.  Baju ini adalah berbentuk baju korporat berlengan pendek bagi lelaki atau lengan panjang untuk wanita.  Warna kain dan lakaran atas kain hendaklah terhad kepada warna-warna hitam, putih, kuning dan merah.

70. Pakaian Kod 4a dirujuk kepada pakaian yang dipakai di gelanggang untuk tujuan menjalani latihan silat.  Pakaian ini juga disebut sebagai pakaian di medan.  Lelaki berpakaian lengan baju dan seluar ¾ panjang.  Pilihan baju ialah potongan leher perahu bugis atau teluk belanga.  Manakala perempuan berpakaian lengan baju dan seluar panjang penuh.  Baju wanita hendaklah labuh atau dilengkapkan dengan pemakaian kain samping hitam.  Jika tidak berjilbab, maka hendaklah pewilat wanita mengenakan tengkolok (kain ikat kepala seperti lelaki.

71. Pakaian Kod 4b dirujuk kepada pakaian gurulatih elaki dan wanita ketika di gelanggang.  Mereka boleh memilih memakai sandang dan bersamping tetapi hendaklah mereka tidak memakainya ketika bersilat. Gurulatih hendaklah membuka sandangnya jika membuat persembahan silat.  Walaupun begitu hanya pakaian  sandang Khalifah-Khalifah, Singa Malaya dan Panglima Hitam sahaja yang dibenarkan dipakai di gelanggang.

KEWANGAN

72. Sumber kewangan adalah dari kutipan yuran aktiviti adat seperti Perlimau Tapak/Seni, anugerah sandang, jualan sijil adat, sumbangan dari orang perseorangan serta agensi-agensi dan lain-lain sumber yang difikirkan wajar oleh Waris Amanah.  Kadar yuran dan kos dimaklumkan melalui surat-surat pekeliling adat yang berkuatkuasa.  Wang ini hendaklah disimpan di dalam akaun bank badan yang sah berdaftar mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

73. Kewangan yang terkumpul yang diagihkan kepada tabung pada peringkat Badan Adat Kebangsaan atau Negeri hendaklah disalurkan secara langsung kepada akaun berkaitan.  Gurulatih atau penganjur hendaklah selepas menerima kutipan bayaran (yuran, sumbangan atau jualan)  mengasingkan hak Badan Adat dan menyerahkannya  kepada akaun bank yang ditetapkan dalam tempuh 7 hari.  Bukti penyerahan  (slip bank) hendaklah disampaikan kepada Bendahari.

74. Dana yang terkumpul digunakan bagi agihan fidyah perlimau - hak waris (Waris Mutlak) dan tujuan-tujuan berikut:

 

  1. Pentadbiran aktiviti badan adat pusat dan negeri

  2. Mengadakan aktiviti sosial 

  3. Mendirikan rumah untuk urusan badan adat

  4. Kebajikan murid, gurulatih dan pegawai adat

75. Wang-wang adat tidak boleh digunakan dengan secara langsung atau sebaliknya untuk membayar denda atau hukuman yang dikenakan oleh mahkamah kepada sesiapapun.

76. Wang-wang kepunyaan badan adat yang tidak dikehendaki untuk perbelanjaan biasa yang telah diluluskan hendaklah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Waris Amanah dalam tempoh 7 hari dari tarikh penerimaannya.

77. Semua notis pengeluaran atas nama adat hendaklah ditandatangani bersama-sama oleh Pengerusi  (dimasa ketiadaanya) oleh Timbalan Pengerusi, Bendahari  dan Setiausaha, maka hendaklah Lembaga Adat Kebangsaan melantik seorang dari mereka itu untuk menggantinya. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Lembaga berhak melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani notis pengeluaran wang adat semasa ketiadaan mana-mana penandatangan tersebut.

78. Bendahari dibenarkan menyimpan wang tunai tidak lebih dari RM 1,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ribu Sahaja) pada satu-satu masa dengan tidak perlu mendapat kebenaran Lembaga Adat Kebangsaan terlebih dahulu.

79. Bendahari hendaklah menulis atau menguruskan supaya ditulis dalam Buku Kira-Kira mengenai keterangan penerimaan dan perbelanjaan wang adat. Apabila ia berhenti atau meletak jawatan, atau pekerjaannya pada bila-bila masa dikehendakinya membuat demikian oleh Lembaga, maka hendaklah ia menyerahkan kepada Lembaga dan ahli-ahlinya satu kenyataan yang sah lagi betul perihal sekelian wang yang diterima atau dibayarnya dalam masa yang baru lalu semenjak ia menerima jawatannya, atau jika ia tidak pernah membentangkan kira-kiranya terlebih dahulu itu dibentangkan. Maka hendaklah dinyatakan baki wang ditangannya pada masa menyerahkan kira-kira itu dan menerangkan lain-lain harta Pertubuhan dalam simpanan atau jagaanya.

80. Perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pusat, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 100,000.00 (Ringgit Malaysia Seratus ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Waris Amanah terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia Lima ribu Sahaja) boleh diluluskan bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari Lembaga Adat Kebangsaan.

81. Penyata kewangan bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh juruaudit yang dilantik di bawah Fasal 11 Peratuan ini dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kewangan yang telah diaudit itu hendaklah diedar untuk makluman ahli-ahli dan dikemukakan untuk diluluskan oleh Waris Amanah. Setiap salinan tersebut hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat tempat urusan Lembaga Adat Kebangsaan.

82. Tahun kewangan Lembaga adat ini hendaklah bagi tempoh 12 bulan iaitu bermula dari 1 Januari.

JURUAUDIT

85. Dua orang yang bukannya pegawai Badan Adat boleh dilantik di dalam Mesyuarat Lembaga Waris Amanah sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan sehingga diberi notis tamat pada bila-bila masa yang dikehendaki.

86. Tugas dan tanggungjawab:

 

  1. Mereka itu akan memeriksa kira-kira Pertubuhan pada penghujung tiap-tiap enam (6) bulan dan menyampaikan penyataannya kepada Lembaga Adat Kebangsaan

  2. Mereka itu juga akan memeriksa kira-kira Badan Adat pada akhir tahun dan menyampaikan penyatanya kepada Waris Amanah.

  3. Mereka juga boleh diminta untuk memeriksa kira kira setiap program bersama sama Pengerusi / Bendahari program.

87. Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa penyata kewangan Badan Adat Kebangsaan dan Negeri bagi setahun. Juruaudit hendaklah membuat perakuan dan menandatangani penyata kewangan tersebut untuk pertimbangan Waris Amanah. Mereka juga dikehendaki bila-bila masa oleh Pengerusi Lembaga Adat Kebangsaan mengaudit penyata kewangan adat negeri atau pada bila-bila masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pusat.

88. Watis Amanah juga boleh melantik Pemeriksa kira kira Luar (Juru Audit Bertauliah) setelah mendapat kelulusan dalam mesyuarat.

PENTADBIR HARTA HARTA BENDA

89. Lembaga Adat Kebangsaan dan Negeri boleh memiliki tanah, bangunan dan lain-lain harta-benda dengan apa jalan yang sah. Semua tanah bangunan dan lain-lain harta-benda melainkan wang dalam bank, atau simpanan di Bank hendaklah diamanahkan kepada tidak kurang dari 3 orang ahli.

90. Pemegang-pemegang Amanah hendaklah dipilih oleh Waris Amanah

91. Seseorang Pemegang Amanah itu akan memegang jawatannya sehingga dia meminta berhenti dan permintaannya itu diluluskan ataupun ianya diberhentikan Waris Amanah.

92. Waris Amanah adalah berhak di atas semua tanah, bangunan dan lain-lain harta benda Badan Adat Negeri yang telah dibubarkan.

93. Waris Amanah berkuasa membuat sebarang peraturan yang berkenaan dengan harta benda itu.

94. Segala harta tidak alih Badan Adat hendaklah didaftarkan atas nama Lembaga Adat Kebangsaan dan segala surat cara pelaksanaan berkaitan dengan harta ini dianggap sah dan berkuatkuasa seolah-olah ianya telah dilaksanakan oleh seorang tuan punya berdaftar dengan syarat surat cara itu disempurnakan oleh 3 orang pemegang jawatan pada masa itu yang mana perlantikan mereka disahkan Waris Amanah.

95. Harta tidak alih Badan Adat tidak boleh dijual, digadai, ditarik balik atau ditukar milik tanpa persetujuan Waris Amanah.

PINDAAN PERATURAN

96. Sebarang pindaan peraturan hendaklah dirujuk dan diluluskan oleh Waris Amanah.  Cadangan-cadangan disalurkan terlebih dahulu kepada Lembaga Beradat Kebangsaan untuk dibentang di mesyuarat Lembaga Waris Amanah.

97. Badan Adat tidak akan terbubar selagi pengajaran dn adat-istiadat Silat Seni Gayong diteruskan.  Semua ilmu dan adat-istiadat   Silat Seni Gayong adalah bersumberkan dari ciptaan Dato’ Meor Rahman Hashim.

bottom of page