24 Jan 2020
Pemegang jawatan adat seelok-eloknya tidak bertindan, iaitu memegang lebih dari satu jawatan terutamanya yang melibatkan pemakaian sandang. Jika seseorang itu dilantik memegang jawatan yang lebih tinggi dan melibatkan penganugerahan sandang, sebaik-baiknya jawatan yang disandang dilepaskan dan diganti dengan dengan orang lain yang mempunyai kelayakan yang bersesuaian. Ini adalah bertujuan untuk mengelak berlakunya konflik fungsi dan dalam masa yang sama tidak memberi ruang mewujudkan suasana latih dan pimpin generasi baru. Ia juga menidakkan ruang meluas dan meramaikan lagi pelapis-pelapis yang satu masa nanti akan memimpin organisasi.
Sedar atau tidak jika amalan ini tidak dilakukan kita akan ketandusan pemimpin, dan akhirnya terdapat vacuum (kelompongan) pimpinan. Apabila seseorang itu diangkat untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi, bermakna fungsi dan tanggungjawabnya berubah. Ruang pemikirannya perlu lebih luas dan sentuhannya tidak bersifat mikro lagi. Ia seperti sesorang menaiki helikopter, lagi tinggi helikopter itu naik maka lagi luas pemandangan orang itu. Tanggungjawabnya beralih kepada memimpin dan membimbing serta menasihat dan mendidik, dia tidak lagi berperanan sebagai mengurus dan melaksana.
Melihat akan keperluan ini agar dapat diterjemahkan, maka Lembaga Beradat Kebangsaan akan menganjurkan dasar supaya penjawat jawatan adat tidak memegang dua jawatan dalam sesuatu masa yang sama. Langkah ini akan melahirkan bagi mewujudkan hirarki fungsi, pemutus dasar, penggubal dasar, pengurus (pengawal) dasar dan pelaksana dasar.
Comments