top of page

BERITA

22 Feb 2020


Masyarakat awam sentiasa melihat anak-anak silat dan mereka yang dewasa dalam dunia persilatan mempunyai dan mengamalkan akhlak yang mulia. Sopan santun orangnya, tertib tingkahlaku, mengutamakan protokol bila mengatur acara, lembut bila menyapa dan bijak bila berbicara Walaupun tegas ketika menyampaikan pendapat, yang mendengar berlapang dada menerima teguran. Sebab itulah orang tua-tua selalu berkata seorang pendekar tinggi adabnya.


Lembaga Beradat Kebangsaan amat berhajat untuk melahirkan komuniti Gayong yang beradab bagi meningkatkan penerimaan masyarakat kepada orang-orang yang bergelar sebagai Pendekar Gayong. Pada hari ini sering kedengaran anak-anak Gayong bercerita kenapa ada yang menjerit-jerit dalam mesyuarat, perlukah menghentak meja bila menyampaikan pendapat. Meningkah ketika orang berbicara, menyimpul sebelum mendengar hujung hujah. Terserlah muda pada pemikiran walaupun lanjut pada usia.


Pemimpin dan gurulatih sentiasa menasihat anak murid atau mereka yang dipimpin untuk menepati masa, tetapi yang memberi nasihat pula yang mengkhianati nasihatnya. Wajarkah tetamu yang menunggu tuan rumah atau lebih sopan tuan rumah yang menyambut tetamu. Melalui adab, maruah terjaga. Antara tugas utama Rasulallah s.a.w ialah menyempurnakan akhlak umatnya. Kita adalah penerus tugas ini. Akhlak yang mulia adalah sunnah Rasulallah s.a.w.


Jika berucap sapalah dan raikan tetamu

Jika berucap sampaikan dengan jelas dan teratur.

Jika makan bersama tetamu, capai apa yang dekat.

Jika menjamu tetamu, biarlah tetamu jamah dahulu

Kunyahlah dengan mulut yang tertutup

Minumlah dengan teguk yang teratur

Jika meninggalkan majlis biar tetamu bangun dahulu

15 Feb 2020


Apabila sesebuah organisasi ditubuhkan, maka segala keputusan dibuat adalah persetujuan bersama oleh ahli-ahlinya. Salah jika ada yang berpandangan bahawa ia diputuskan oleh Pengerusi atau mana-mana ahli. Mungkin seorang Pengerusi atau ahli yang mencadangkan pandangan tetapi untuk dikatakan sebagai itu adalah suatu keputusan ia mesti terlebih dahulu disokong oleh majoriti ahli atau keseluruhan ahli. Maka sebab itulah minit mesyuarat bermula catatannya dengan perkataan mesyuarat menerima pandangan, atau mesyuarat bersetuju dan sebagainya bagi menggambar kan bahawa keputusan dibuat secara kolektif (bermuafakat).


Ini termasuklah isu melucutkan jawatan seseorang dalam sesebuah organisasi. Apa tah lagi jika jawatan tersebut adalah jawatan yang dilantik dalam mesyuarat agong. Kuasa hire and fire bukan kuasa pengerusi. Ia adalah kuasa jawatankuasa. Walaupun jawatan itu jawatan yang dilantik oleh Pengerusi seperti Setiausaha, Bendahari dan ahli-ahli jawatankuasa tambahan kerana kuasa Pengerusi sekadar mencadangkan dan kemudiannya perlu mendapat persetujuan ahli-ahli jawatankuasa yang lain. Justeru cadangan untuk melucutkan jawatan perlu dibentang di dalam mesyuarat jawatankuasa berkaitan. Jika persetujui oleh jawatankuasa, maka barulah proses melucutkan jawatan dilaksanakan. Proses ini akan melibatkan pengeluaran surat rasmi memaklumkan keputusan yang dibuat dan menjelaskan sebab musabab perlucutan jawatan. Dalam masa yang sama diberi ruang kepada pihak yang terlibat menjelaskan pertuduhan yang dibuat kepadanya dalam tempuh yang ditetapkan.


Bagi melantik pengganti pemegang jawatan pula hendaklah drujuk kepada catatan undian yang kedua terbanyak untuk jawatan tersebut di mesyuarat agong yang berkaitan. Lantikan tidak boleh dalam kalangan sesiapa sahaja yang berkenan dik hati. Jika prosidur ini tidak dipatuhi maka perlucutan jawatan dan perlantikan baru adalah tidak sah dan boleh dipertikaikan.

14 Feb 2020


Di antara kelemahan pengurusan kebanyakan pengurus Silat Seni Gayong baik Pentadbiran, Adat dan Majlis Gurulatih ialah memberi respon (maklumbalas) kepada isu-isu yang dibawa kepadanya. Ini berlaku baik pada peringkat gelanggang, daerah/cawangan, negeri mahupun kebangsaan, terutamanya apabila memerlukan jawapan bertulis. Lembaga Beradat Kebangsaan (LBK) sejak tahun 2016 telah cuba membaiki kelemahan ini dengan menetapkan supaya semua surat ataupun permintaan bertulis diberi maklumbalas secara bertulis juga. Malahan telah ditetapkan supaya maklumbalas ini dijawab dalam tempuh 14 hari.


Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan bahkan juga keyakinan mereka yang berurusan dengan LBK. Pengurusan sebegini memberi kesan pemantapan rekod, manakala pada peringkat pelanggan atau client akan terlahirnya rasa kepercayaan yang tinggi kepada pihak pengurusan kerana mempunyai bukti (evident) hubungan dan mendapat perhatian. LBK kemudiannya menetapkan supaya isu yang dikemukakan akan selesai dalam tempuh 30 hari.


Pada peringkat awal ini, LBK ingin menyeru kepada semua pengurusan Silat Seni Gayong pada semua peringkat supaya mewujudkan client charter (piagam pelanggan), iaitu janji kepada semua pihak bahawa setiap permintaan akan menerima setidak-tidaknya jawapan kami telah menerima permohonan tuan dan permohonan tersebut sedang dalam pertimbangan. Jawapan ini diberi dalam tempuh 14 hari (lebih cepat lebih baik). Kos untuk jawapan ini tidak timbul kerana ianya disampaikan dalam bentuk format surat yang lengkap tetapi disalurkan melalui whataspp. Penerima boleh mencetak sendiri dalam bentuk hardcopy jika diperlukan. Lebih bijak jika disimpan dalam bentuk digital, kerana bentuk sedemikian tidak memerlukan ruang.


Selepas memberi respon pertama, maka diikuti dengan maklumbalas yang memberi jawapan kepada isu ataupun menyampaikan bahan yang diperlukan oleh pihak berkenaan dalam tempuh 30 hari (lebih cepat lebih baik).


Semoga berubah wajah pengurusan Silat Seni Gayong

Headline 1
bottom of page