12 Mac 2021
Membimbing dan mendidik anak-anak muda Melayu perlu menitikberatkan pembangunan dan pemantapan rohani. Kebelakangan ini, terdapat anak-anak Melayu murtad, dan bilangannya semakin meningkat akibat dari adanya usaha oleh pihak-pihak tertentu yang berhasrat untuk menukarkan pegangan agama bangsa Melayu selain dari Islam. Kejadian anak Melayu beralih kepada ajaran agama lain, seruan mewujudkan Islam liberal, desakan mengiktiraf golongan LGBT dan sebagainya merupakan cabaran besar akhir-akhir ini yang membawa kepada kemurkaan Allah sbt. sepertimana berlaku di Palu, Sulawesi.
Kini terdapat anak Melayu bukan sekadar murtad, bahkan dilaporkan menjadi master mind serta tenaga penyebar kefahaman yang bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam. Gejala ini harus dilihat sebagai perkara yang amat serius. Dilaporkan bahawa mereka yang terlibat ini adalah dalam kalangan pelajar yang berpendidikan agama Islam, malah ada yang hafiz Al Quran dan bersekolah di sekolah agama yang ternama Dimana silapnya? Jawapan kepada isu ini bukanlah sekadar mencari siapa yang salah, tetapi membetulkan langkah masing-masing supaya dapat melahirkan anak Melayu yang kukuh imannya. Ilmu perlu diikuti dengan amal dan dimantapkan dengan iman.
Kegiatan silat adalah wadah yang boleh dijadikan pilihan kerana ia melibatkan anak-anak muda bangsa Melayu bagi merungkai masalah ini. Sayangnya kegiatan yang dianjur hanya menumpu kepada ilmu persilatan walaupun mereka yang terlibat turut didedahkan kepada hal-hal yang menyentuh ajaran agama Islam seperti membaca ayat dan surah Al Quran, menerap nilai-nilai taat, setiakawan, disiplin, sabar, semangat juang, integriti dan sebagainya, tetapi hal-hal ini tidak dikupas, diterjemah serta diterapkan secara teratur. Rata-rata pencapaian pesilat dinilai dari aspek penguasaan bersilat, manakala pembangunan diri dari aspek rohani dan jatidiri diandaikan terbangun sendiri. Anak silat akhirnya tangkas bersilat tetapi rapuh dari aspek rohani dan jatidiri. Justeru tidak pelik jika mereka terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dan lebih mengecewakan lagi apabila terlajak sehingga meninggalkan ajaran agama.
Dicadangkan supaya pengajaran silat dilihat semula supaya anak-anak Melayu dapat dibangunkan secara seimbang, kuat jati dirinya dan tangkas langkahnya. Unsur-unsur pemantapan rohani diatur secara sedar dan strategik supaya semangat patriotik dan pegangan agama mereka kukuh untuk lebih bersedia mengharungi ancaman yang sedang menggugat negara dan agama Islam.