2 Ogos 2020
Dalam usaha untuk mengembangkan pengajaran silat seringkali berlakunya salah faham terutamanya tomahan mengenai amalan bidaah dan kurafat yang dibabitkan dengannya. Sebab itulah kadangkala terdapat segelintir masyarakat Melayu tidak mahu terlibat dengan kegiatan silat sehinggakan anak-anak mereka juga dielakkan dari menjadi murid silat. Sedangkan lazimnya amalan dalam kegiatan silat adalah bersumberkan Al Quran dan Sunnah Rasulallah saw. Cuma proses penurunan ilmu yang diamalkan berkemungkinan tidak mengikut adab dan adat secara tertib serta lengkap. Ini berlaku mungkin kerana kelemahan guru atau murid, atau mungkin sistem pengurusan hal ini yang tidak diatur secara berstruktur dan dikawal.
Penurunan pelajaran ilmu Silat Seni Gayong khususnya begitu juga dijangka bagi ilmu seni silat yang lain telah menetapkan bahawa permulaan berguru ialah dengan acara penerimaan murid secara berakad dengan gurunya. Bai’ah berlaku dimana suatu kontrak yang tidak bertulis yang menuntut dan melaksanakan hak-hak masing-masing di antara satu dengan lain. Pelaksanaannya berlandaskan kepada kepercayaan guru akan menurunkan ilmunya mengikut firasat dan pemerhatiannya membaca hati murid yang dilihat dari segi kesungguhan dan keikhlasan masing-masing. Maka tahap dan cara penyampaian mempunyai sentuhan yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Walaupun kelihatan semua murid mendapat ilmu langkah dan pukulan yang sama, dan amalan yang diturunkan kedengaran sama, tetapi prestasi setiap murid berbeza. Ilmu yang diterima dan akan berkembang mengikut penerimaan dan tafsiran masing-masing dan akhirnya melahirkan individu yang mencorakkan permainannya tersendiri.
Ironinya ialah apabila mereka menjadi gurulatih, dan tidak pula merujuk kepada gurunya untuk mendapat panduan bagi memperhalusi dan melengkapkan tubuh ilmu yang diperolehi akan menurun dan mengembangkan secara ditafsirkan yang tidak jelas. Demi untuk kelihatan bahawa dirinya berwibawa, maka gurulatih melakukan tokok tambah kepada langkah dan amalan dalam pengajarannya. Kelaziman ini telah menyebab berlakunya kekaburan dan ketidakpastian kebenaran dan keaslian ilmu, dan akhirnya menimbulkan persepsi bahawa ilmu berkenaan sesat.
Untuk itu, bagi membetulkan keadaan yang sedang menular dalam perkembangan perluasan pengajaran Silat Seni Gayong, satu majlis Muzakarah Acara Adat Istiadat Silat Seni Gayong akan diadakan sebagai langkah permulaan. Majlis ini akan diadakan pada 16 Ogos 2020 di Kuala Lumpur. Peserta dijemput secara terhad bagi mendapat pandangan awal untuk membentuk dan menggubal deraf dasar, supaya dapat dijadikan premis perbincangan dalam siri muzakarah seterusnya.
Comments