top of page

BERADABLAH BILA MELANGKAH

22 Feb 2020


Masyarakat awam sentiasa melihat anak-anak silat dan mereka yang dewasa dalam dunia persilatan mempunyai dan mengamalkan akhlak yang mulia. Sopan santun orangnya, tertib tingkahlaku, mengutamakan protokol bila mengatur acara, lembut bila menyapa dan bijak bila berbicara Walaupun tegas ketika menyampaikan pendapat, yang mendengar berlapang dada menerima teguran. Sebab itulah orang tua-tua selalu berkata seorang pendekar tinggi adabnya.


Lembaga Beradat Kebangsaan amat berhajat untuk melahirkan komuniti Gayong yang beradab bagi meningkatkan penerimaan masyarakat kepada orang-orang yang bergelar sebagai Pendekar Gayong. Pada hari ini sering kedengaran anak-anak Gayong bercerita kenapa ada yang menjerit-jerit dalam mesyuarat, perlukah menghentak meja bila menyampaikan pendapat. Meningkah ketika orang berbicara, menyimpul sebelum mendengar hujung hujah. Terserlah muda pada pemikiran walaupun lanjut pada usia.


Pemimpin dan gurulatih sentiasa menasihat anak murid atau mereka yang dipimpin untuk menepati masa, tetapi yang memberi nasihat pula yang mengkhianati nasihatnya. Wajarkah tetamu yang menunggu tuan rumah atau lebih sopan tuan rumah yang menyambut tetamu. Melalui adab, maruah terjaga. Antara tugas utama Rasulallah s.a.w ialah menyempurnakan akhlak umatnya. Kita adalah penerus tugas ini. Akhlak yang mulia adalah sunnah Rasulallah s.a.w.


Jika berucap sapalah dan raikan tetamu

Jika berucap sampaikan dengan jelas dan teratur.

Jika makan bersama tetamu, capai apa yang dekat.

Jika menjamu tetamu, biarlah tetamu jamah dahulu

Kunyahlah dengan mulut yang tertutup

Minumlah dengan teguk yang teratur

Jika meninggalkan majlis biar tetamu bangun dahulu

bottom of page