top of page

KE MANA HALATUJU GAYONG MALAYSIA

1 Jan 2020


Setelah lebih setengah dekad berlalu, pengurusan Gayong Malaysia masih bergelut dengan isu-isu asas. Isu-isu ini berulang dari tahun ke tahun seperti tiada penghujungnya. Jika berlaku perubahan pun ia bergerak pada kadar yang terlalu lambat. Gayong Malaysia seperti berlari setempat, peluh mencurah-curah tapi tidak bergerak ke mana-mana. Sebaiknya semua pihak, Lembaga Beradat Kebangsaan, Majlis Gurulatih Kebangsaan dan Pentadbiran masing-masing perlu senaraikan apa kah yang telah dicapai. Berdasarkan kepada senarai ini, renung sejenak apakah perluasan yang boleh dilakukan dan apakah perkara baru yang perlu diperkenalkan.


Setiap unit ini mempunyai kekuatan masing-masing, maka gabungkanlah kekuatan ini supaya Gayong Malaysia pantas bergerak dan mencapai kecemerlangan. Dimanakah Gayong Malaysia dalam PESAKA dan dimanakah pesilat Gayong dalam arena sukan negara hari ini. Kepelbagaian harus diatur sebagai gerakan tektikal dan strategik bagi mencapai visi dan misi yang sama, bukannya sebagai saingan.


Hari ini pindaan Perlembagaan telah diluluskan. Banyak perkara (fasal) dipinda untuk memantapkan pengurusan supaya Pertubuhan lebih bersedia menghadapi cabaran terkini. Pengurusan adat semakin mantap dan mula dirasai. Banyak perkara dirakamkan dalam bentuk dokumen bercetak dan digital supaya mudah dicapai dalam negara dan luar negara. Justeru tahun 2020 harus menjanjikan lonjakan (quantum leap) kebangkitan yang menggegarkan dunia persilatan negara.


Gurulatih, pentadbir dan murid Gayong jangan besarkan perbezaan, kerana ia tidak memberi kekuatan. Setidak-tidaknya jika tidak berkesempatan membuat penambah baikan, berilah sokongan kepada inisiatif yang dibuat oleh mana-mana pihak. Beri bimbingan dan dorongan. Apabila berjaya kita rai bersama. Jangan pula kita menjadi penghalang. Jika inisiatif terus dilaksanakan dan berjaya, kita pula yang tersipu.


Pemimpin dan pentadbir boleh bertukar ganti, misi dan visi hendaklah

kekal dan tekal.

bottom of page