top of page

STATUS DAN BIDANGKUASA WARIS MUTLAK (WARIS ZURIAT)

8 April 2023


Harimau CulaSakti VII - tujuh garisan di hujung. (Tali pinggang dipakai oleh Mahaguru, Tali Pinggang Harimau Pelangi Agong Mahkota Sakti, tali pinggang peribadi Mahaguru, tali pinggang ini juga dipakai oleh Mahaguru dan tidak boleh diturunkan kepada murid-murid, tali pinggang hanya diturunkan kepada zuriat Mahaguru sendiri – Amanah Mahaguru).


Perlembagaan PSSGM 1975: Peraturan 35:3(g)







Dimaklumkan bahawa Waris Zuriat adalah bermaksud waris keturunan darah, dan Waris Mutlak ialah waris yang memiliki hak sepenuhnya ke atas sesuatu perkara.


Sehubungan dengan ini, merujuk kepada kenyataan dalam Perlembagaan PSSGM 1975 waris adalah pewaris kepada bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti VII. Perlembagaan ini drujuk khusus, kerana kenyataan ini dirakamkan dalam Perlembagaan tersebut atas kehendak Dato’ Meor. Maka nyata, dengan meninggalnya Dato’ Meor pada tanggal 23 Jun 1991, bengkung yang dinyatakan adalah milik Hajah Siti Fadzilah. Ini membawa erti bahawa Hajah Siti Fadzilah mewarisi segala ciptaan (pelajaran dan adat-istiadat) Dato’ Meor dan kuasa pengurusannya.


Bengkung Harimau Pelangi Agong Mahkota Sakti ini adalah melambangkan autoriti dan pemilik (Waris Mutlak) ilmu Silat Seni Gayong sepenuhnya. Dengan erti kata lain, semua badan sama ada sebagai badan pertubuhan/persatuan atau akademi/kelab yang berdaftar atau tidak yang menganjurkan pelajaran dan adat-istiadat silat ini bertanggungjawab melapor dan menyampaikan hak fidyah adat dan keuntungan urusniaga yang berasas kepada ciptaan (harta intelek) Dato’ Meor.


Dalam menyambung kelangsungan Silat Seni Gayong Malaysia, Dato’ Meor telah melantik 3 orang Waris Amanah silat ini. Namun ketiga-tiga mereka yang dilantik telah meninggal dunia, dan tidak berkesempatan untuk melantik Waris Amanah seterusnya. Pada tahun 2013 Hajah Siti Fadzilah telah bersetuju untuk dilantik sebagai Waris Amanah Silat Seni Gayong Malaysia tanpa menjejaskan kedudukannya sebagai Waris Mutlak Silat Seni Gayong.


Bagi mengendali perkara yang diwarisinya, maka adalah selayak dan hak Waris Mutlak/Waris Amanah untuk menentu dan melantik pegawai-pegawai mengurus dan mentadbir. Melalui kuasa yang dinyatakan dalam Surat Pewarisan Dato’ Meor bertarikh 8 Sept 1989, Waris Amanah boleh membentuk sebuah lembaga yang dianggotai seramai 7 orang murid silat yang mempunyai pengalaman luas berhubung dengan pelajaran, adat-istiadat dan pentadbiran untuk menasihat dan membantunya. Lembaga ini dinamakan sebagai Lembaga Waris Amanah Silat Seni Gayong Malaysia.


Kuasa tunjuk yang ada pada Waris Amanah/Waris Zuriat diperluaskan bagi perlantikan Jawatan Adat Utama pada peringkat pusat dan negeri. Jawatan ini termasuklah:

i. Ahli Lembaga Waris Amanah

ii. Imam Khalifah Agong dan Negeri

iii. Timbalan Imam Khalifah Agong dan Negeri

iv. Kipas Emas Kebangsaan dan Negeri

v. Pengerusi Lembaga Adat-Istiadat Kebangsaan dan Negeri

vi. Pengerusi Majlis Gurulatih Kebangsaan dan Negeri

vii. Khalifah Besar


Bagi membantu peranannya sebagai Waris Mutlak/Waris Zuriat, Hajah Siti Fadzilah juga telah menubuhkan Lembaga penasihatnya pada tahun 2022. Lembaga ini disebut sebagai Lembaga Penasihat Waris Zuriat. Usaha untuk menjaminkan harta intelek dan kebajikan waris Dato’ Meor, langkah juga telah diambil dengan menubuhkan sebuah badan berdaftar atas nama Pertubuhan Waris Kerabat ADMAR Malaysia (6 Okt. 2020). Pertubuhan ini mewujudkan dasar melantik ahli dari luar keluarga (waris kerabat) bagi membantu memantapkan pelaksanaannya. Ahli-ahli ini disebut sebagai Ahli Kehormat Pertubuhan Waris Kerabat ADMAR Malaysia.


Semua pengurusan pada semua peringkat hendaklah mengambil langkah dan tindakan yang bertepatan dalam mengendali pengurusan pentadbiran masing-masing supaya selari dan tidak bertentangan (konflik) dengan perkara yang diperjelaskan.





bottom of page