top of page

DRAF PANDUAN GAYONG PATUH SYARIAH SEDANG DISEDIAKAN

12 Sep 2020


Jawatankuasa Khas Gayong Patuh Syariah (JKGPS) yang ditubuhkan hasil dari Muzakarah isu minit mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah (25 Ogos 2015). Muzakarah ini telah diadakan pada 16 Ogos 2020. Hasil dari sesi muzakarah yang telah diadakan sebuah Jawatankuasa Khas (task force) telah ditubuhkan. YBhg Dato’ Haji Zainal Abidin Haji Sakom telah dilantik untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut.


Pada 2 Sept 2020 jam 2130 mesyuarat via sidang video telah diadakan. Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk memantau status tindakan yang diambil oleh ahli-ahli yang berkaitan dalam perkara-perkara yang telah diputuskan dalam mesyuarat JKGPS pada 22 Ogos 2020. Langkah ini akan membolehkan laporan dan seterus tindakan dirancang di Mesyuarat ke 2 JKGPS pada bulan Oktober 2020 dengan lebih pantas dan mempunyai nilai perkembangan maklumat yang signifikan.


Mesyuarat juga telah bersetuju supaya penulisan mengenai perkara Acara Perlimau Tapak, Acara Perlimau Seni dan Mandi Minyak dimulakan kerana maklumat mengenai acara-acara ini telahpun tersedia ada dan lengkap. Manakala acara selainnya, seperti Khatam Keris dan Khatam Lembing akan disusul melalui tindakan mengumpul maklumat dari guru-guru kanan Silat Seni Gayong.


Buku panduan Garis Panduan Silat Menurut Islam terbitan JAKIM (1997) akan dijadikan asas rujukan bagi penulisan Gayong Patuh Syariah (GPS). Penulisan GPS dijangka akan dapat merungkai peratusan besar persepsi yang tersilap terhadap amalan acara adat-istiadat untuk dijadikan teks rujukan kepada semua gurulatih dan pengurusan Silat Seni Gayong di seluruh negara.


Usaha sedang diambil untuk melibatkan pegawai JAKIM sebagai panel rujukan bidang agama dalam muzakarah-muzakarah yang akan diadakan. Dijadualkan Muzakarah Pertama akan diadakan pada bulan Januari 2021 di Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur. Pada Ketika itu dijangka penulisan tiga (3) acara mandi dan draf GPS dapat disediakan untuk dibincang dan dinilai oleh panel Muzakarah. Perkembangan tindakan JKGPS akan dilaporkan kepada ALWA di sidang pada 19 Sep 2020.


bottom of page