6 Julai 2026

Seramai 80 orang murid sekolah rendah telah menyertai Majlis Perlimau Tapak Silat Seni Gayong yang diadakan di SK Taman Selasih, Gombak, Selangor, pada 27 Jun 2026. Majlis tersebut turut disaksikan oleh ibu bapa dan penjaga yang hadir bagi memberikan sokongan serta galakan kepada para peserta.
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Cawangan Gombak komited dalam usaha memperkasa, mengangkat dan menyemarakkan perkembangan seni persilatan di daerah Gombak, khususnya Silat Seni Gayong Malaysia, sebagai warisan seni bela diri kebangsaan. Usaha ini bertujuan membentuk sahsiah, memupuk disiplin serta memperkukuh jati diri generasi muda melalui penghayatan nilai-nilai murni yang terkandung dalam seni persilatan.



