top of page

LANTIKAN PEGAWAI ADAT SILAT SENI GAYONG

29 Dis 2023



Dalam usaha menentukan supaya pelajaran dan adat-istiadat Silat Seni Gayong berterusan dan kekal sepertimana asal ciptaannya, ADMAR telah mewujudkan jawatan-jawatan adat.  Pemegang jawatan adat dilantik dan dianugerahkan sandang yang disebut sebagai Sandang Berjawatan.  Semua pemegang sandang bertanggungjawab mengawal pelaksanaan pelajaran, adat-istiadat, pentadbiran (adat) dan kewangan (adat) pada tahap kuasa masing-masing.

 

Telah ditetapkan bahawa pemegang jawatan Imam Khalifah dan Timbalan Imam Khalifah menjaga sebuah negeri, Khalifah Besar mengawal Khalifah Kanan, Khalifah Kanan pula mengawal  Khalifah dan Khalifah mengawal Khalifah Muda (Imam gelanggang), manakala Khalifah Muda mengawal gurulatih-gurulatih di gelanggangnya dalam empat bidang yang dinyatakan.

 

Kebelakangan ini didapati perlantikan dan anugerah Sandang Berjawatan tidak seimbang mengikut keperluan yang dijelaskan di atas.  ADMAR menyatakan bahawa seorang Khalifah adalah bertanggungjawab kepada 4 orang Imam Gelanggang/Khalifah Muda (Peraturan 32:4 (b) - Perlembagaan PSSGM 361). Oleh kerana dasar ini tidak dijadikan panduan, maka pada hari ini didapati  berlaku lambakan pemegang-pemegang Sandang Berjawatan.  Amalan ini tidak boleh diteruskan, kerana ia berpotensi menurunkan martabat dan nilai sandang sehingga menjadi sebagai hiasan pakaian, dan tidak menjadi status pangkat dan kuasa kepada pemegang sandang.

 

Diingatkan bahawa anugerah Sandang Berjawatan sepatutnya bersasas kepada bilangan gelanggang.  Setiap gelanggang mempunyai seorang Khalifah Muda yang memantaunya, manakala setiap Khalifah mengawal 4 orang Khalifah Muda seperti yang ditetapkan.  Justeru itu sifir ini hendaklah dijadikan asas bagi lantikan ke jawatan adat.  Jika bilangan gelanggang kecil, maka tidak ada wajaran melantik bilangan pegawai adat yang ramai sehingga tidak sepadan dengan nisbah.  Situasi ini mewujudkan keadaan lebih ramai pemerintah dari pengikut.

 

Dengan ini, semua Pertubuhan hendaklah melihat semula organisasi adat masing-masing  dan jika perlu lantikan baru, hendaklah atas sebab mengganti, atau apabila terdapat tambahan bilangan gelanggang yang sepadan mengikut nisbah, supaya struktur organisasi adat berbentuk melebar di bawah dan bersesuaian dengan prinsip pengurusan sesebuah organisasi.

 

Sandang berjawatan adalah bermula dari Sandang Khalifah Muda.  Penerima sandang ini ialah seorang gurulatih yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 3 tahun di sesebuah gelanggang dan menunjukan pemahaman mengenai sistem pelajaran, adat-istiadat, pentadbiran (adat) dan kewangan (adat).  Dalam erti kata lain, sandang ini tidak boleh diberi kepada sebarang murid silat.  Sandang melambangkan kuasa dan tangunggjawab.

bottom of page