4 Ogos 2020
ALWA adalah sebuah entiti yang ditubuh berasaskan surat warisan Allayarham Dato’ Meor Abdul Rahman bertarikh 8 Sept 1989. Surat berkenaan menyatakan bahawa Waris Amanah Silat Seni Gayong boleh menubuhkan sebuah Lembaga yang disebut sebagai Lembaga Waris Amanah untuk membantu mengendalikan penerusan pengajaran dan perluasan Silat Seni Gayong. Lembaga ini hendaklah dianggotai oleh 7 orang gurulatih kanan yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pelajaran dan adat-istiadat.
ALWA telah menetapkan pada tahun 2017 dalam pengurusannya hendaklah mengadakan mesyuarat (persidangan) sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Di dalam persidangan ini pihaknya akan memutuskan dasar-dasar perihal pengajaran dan perluasan Silat Seni Gayong dan mengambil maklum status pelaksanaan dasar-dasar yang telah diputuskan. Oleh kerana pada hari ini, semenjak tahun 2016, banyak isu dasar telah disentuh dan diselesaikan, khususnya berkaitan dengan adat-istiadat, maka ALWA berhasrat untuk membuka ruang kepada pengurusan pada semua peringkat untuk membentang kertas cadangan jika melibatkan dasar. Surat tawaran ini telahpun diedarkan kepada Pengerusi Lembaga Beradat Negeri, Pertubuahn Negeri dan Kebangsaan, dan Majlis Gurulatih Negeri.
Persidangan kali ini akan diadakan pada 19 Sept 2020 di Kuala Lumpur. Persidangan teresebut telah mengaturkan agenda khusus untuk pembentangan kertas kerja. Setiap kertas diberi tempuh 10 minit untuk pembentangan. Langkah yang diambil ini adalah bertujuan mengadakan ruang kepada semua pihak untuk terlibat dalam membuat dasar adat, gurulatih (pelajaran) pentadbiran dan kewangan Silat Seni Gayong bagi menambahbaik kecemerlangan peranan silat sebagai wadah membentuk manusia yang cemerlang.