top of page

BERITA

19 Jan 2020

Usaha untuk mengangkat kembali fungsi adat dalam Silat Seni Gayong Malaysia telah bermula dari tahun 2014 apabila Hajah Siti Fadzillah Dato’ Meor Abdul Rahman, Waris Zuriat Silat Seni Gayong menubuh dan menggerakkan semula Lembaga Beradat Kebangsaan selepas menamakan Ahli-ahli Lembaga Waris Amanah. Tujuannya ialah untuk memperkasakan semula bidang adat dalam lanskap pengurusan Silat Seni Gayong Malaysia. Antara langkah yang telah diambil oleh Lembaga ini ialah memantapkan sistem pengurusan adat melalui arahan dan panduan bertulis yang disebarkan dengan menerbitkan buku panduan, surat pekeliling, kursus dan sosial media (laman web). Maklumat-maklumat yang terbaru disalurkan dari semasa ke semasa dengan mengguna media ini.


Acuan-acuan dalam sistem pengurusan adat telahpun terbina atas usaha yang dijalankan, maka dengan demikian melaksanakannya adalah kini merupakan tindakan rutin (ulangan). Justeru tindakan seterusnya perlulah bersifat baru iaitu ke arah meletakkan Silat Seni Gayong pada peringkat yang lebih tinggi (next level) dalam dunia persilatan negara mahupun di luar negara. Pimpinan Silat Gayong perlu melihat dan menterjemahkan peranan yang berganjak pada peringkat yang lebih tinggi. Antara lainnya ialah membina benteng pertahanan ke tiga negara, mendominasi peranan dalam PESAKA, menyumbang kepada melahirkan atlit silat negara, menjadi catalyst perpaduan ummah dan sebagainya disamping memantap dan meningkatkan kecekapan urusan rutin.


Usahlah kita asyik berbalah hal-hal dalaman seolah-olah tiada penghujungnya. Sejarah kita lebih lama dari silat-silat lain, tetapi kenapa tidak sampai-sampai ke garisan penamat. Orang lain sudah menuai hasil, tapi kita masih di tapak semaian.

18 Jan 2020

Lembaga Beradat Negeri (LBN) seharusnya telah mengatur dan melaksanakan persidangan Badan Adat Negeri (BAN) masing-masing. Masih tidak terlambat jika ada yang masih belum melaksanakannya kerana kita masih berada di dalam bulan-bulan awal tahun 2020. Walaupun begitu perkara-perkara berikut perlu dibincangkan supaya tiada lagi isu-isu asas menjadi hambatan perkembangan dan pembangunan bidang adat:


  • Mengisi kekosongan jawatan adat

  • Penyeliaan acara perlimau

  • Latihan (kursus) adat kepada gurulatih

  • Penyampaian sandang berjawatan dan kehormat

  • Pengeluaran surat-surat perlantikan dan sijil Aku Janji jawatan

  • Pelaksanaan dan bekalan Sijil-sijil Adat (Perlimau)

  • Menyelia dan memantau pelaksanaan hal-hal adat di gelanggang

  • Takwim persidangan (mesyuarat) LBN dan BAN 2020

Kerjasama semua LBN dituntut untuk merancang, melaksana dan memantau perkara-perkara yang dinyatakan. Kegagalan LBN memainkan peranan ini seringkali menjadi punca BAN fungsi dengan efektif dan akan berakhir dengan mereka yang menjadi anggota badan ini tidak dapat memberi sumbangan kepada perkembangan dan pembangunan Silat Seni Gayong. Mereka akan menyendiri dari arus perdana dan beralih kepada aktiviti lain. Sandang dan jawatan akan tinggal atas namanya sahaja. Diingatkan bahawa antara ciri pengurusan dan kepimpinan yang bijak ialah mengumpul dan mengguna sumber secara berkesan untuk membawa perubahan.

17 Jan 2020

Badan Adat Negeri adalah unit yang bertanggungjawab mengendali dan mengurus perjalanan bidang adat pada peringkat negeri keseluruhan aspek pentadbiran, kewangan, adat-istiadat dan pelajaran (gurulatih). Badan ini mempunyai struktur seperti berikut:


  • Imam Khalifah

  • Timbalan Imam Khalifah

  • Kipas Emas

  • Khalifah Besar (4)

  • Waris Beradat (14)

  • Ketua Beradat (14)

Badan ini perlu mengadakan persidangannya bagi mengawal dan mengawasi (command and control) perkara-perkara yang dinyatakan. Unit-unit pengurusan Adat (Lembaga Beradat Negeri), pelajaran (Majlis Gurulatih Negeri) dan Pentadbiran (PSSGM Negeri) melapor kepada badan tersebut dan memberi input untuk badan ini membuat keputusan dasar. Atas kuasa badan ini lah juga pemegang-pemegang jawatan utama adat dicalonkan kepada Waris Mutlak untuk mendapat pengiktiran dan kelulusan perlantikan termasuk Pengerusi LBN dan Pengerusi MGN. Jawatan-jawatan utama adat yang melalui proses ini ialah Imam Khalifah, Timbalan Imam Khalifah, Kipas Emas dan Khalifah Besar (4).


Seringkali terdapat kekeliruan kewujudan dan fungsi diantara Badan Adat Negeri dengan Lembaga Beradat Negeri. Sepertimana peranan Lembaga Beradat Kebangsaan (LBK), Lembaga Beradat Negeri (LBN) diwujudkan untuk menyelaras dan melaksana (to serve) Badan Adat pada peringkat masing-masing. Pada peringkat kebangsaan LBK menguruskan hal-hal penggubalan dan pemantauan dasar yang diputuskan oleh mesyuarat Ahli Lembaga Waris Amanah, manakalan LBN pula melaksana dan memantau dasar yang diterima dari badan pusat disamping perkara-perkara operasi pentadbiran badan kendalian masing-masing. Struktur LBN ialah:


  • Pengerusi

  • Timbalan Pengerusi

  • Setiausaha

  • Bendahari

  • Ahli-ahli (5-10)

Headline 1
bottom of page