top of page

KE MANA HALATUJU GAYONG

1 Okt 2021


Pada hari ini terdapat 7 buah Pertubuhan Silat Gayong yang berdaftar kepada ROS. Dengan pendaftaran yang berbeza, maka masing-masing mempunyai jawatankuasa pengurusannya tersendiri. Anehnya semua pertubuhan ini meletakkan Dato’ Meor Abdul Rahman sebagai mahaguru, mengamalkan acara Perlimau Adat yang sama bagi menerima murid baru, mempunyai bentuk dan ciri langkah silat serta berbusana yang sama.


Rata-ratanya perpisahan ini berlaku kerana perbezaan pendapat dalam kalangan gurulatih dan tidak kurang juga kerana kelemahan pentadbiran serta pimpinan yang tidak peka kepada kehendak ahli dan murid. Ramai yang berpendapat kenapa tidak pertubuhan-pertubuhan ini bersatu. Pendapat ini bukan sahaja datangnya dari dalam kalangan masyarakat Silat Gayong tetapi juga masyarakat umum.


Ironinya jika penggabungan berlaku, maka timbul isu siapa mengatasi siapa. Ini menimbulkan persoalan pembatalan pertubuhan-pertubuhan yang kemudiannya langkah ini perlu menjawap persoalan antaranya pengguguran jawatan pentadbiran pertubuhan, penarikan sandang jawatan dan penyelarasan pelajaran. Persoalan ini adalah halangan yang besar yang menyebabkan penggabungan tidak berlaku sehingga ke hari ini.


Justeru langkah yang terbaik ialah mewujudkan satu sistem yang tidak memerlukan pembubaran atau pembatalan mana-mana pertubuhan. Pertubuhan-pertubuhan kekal dengan amalan dan pengurusan yang ada, namun penyatuan tetap berlaku. Kesatuan ini berlaku dari aspek kerjasama, sokong menyokong dan hormat menghormati antara pertubuhan. Langkah ini akan memutik dan berkembang melahirkan organisasi Silat Seni Gayong sebagai organisasi silat yang dorminan dalam negara.


Comments


bottom of page