top of page

KEBIASAAN BARU (New Normal) DALAM SILAT SENI GAYONG

30 April 2020


Syukur Allhamdulillah pengurusan mengawal penularan Covid 19 menampakkan tanda-tanda ianya semakin berkurangan sehinggakan dasar PKP pada akhir-akhir ini dilonggarkan. Namun begitu perlu diingatkan bahawa kelonggaran yang diberi ini tidak bererti aktiviti pergerakan boleh kembali kepada keadaan biasa dalam masa terdekat. Berdasarkan makluman yang diterima, keadaan biasa akan hanya tercapai apabila vaksin Covid 19 diketemui, dan dikatakan penemuan ini memerlukan masa sekurang-kurangnya satu tahun.


Apa yang dikhuatiri oleh pihak Lembaga Beradat Kebangsaan (LBK) ialah kelonggaran SOP (Standard Operation Procedure) PKP diterjemahkan sebagai aktiviti telah kembali normal, dan dengan itu aktiviti boleh dilaksanakan sepertimana kebiasaan. Sejarah telah menunjukan apabila keadaan ini berlaku wabak yang telah dapat dikawal menular semula dalam bentuk gelombang ke 2, dan pada gelombang kali ini akan berlakunya jangkitan dan kematian yang lebih besar. Insiden ini berlaku seperti wabak Spanish Flu di Amerika Syarikat.


Justeru langkah perlu diambil untuk melaksanakan Silat Gayong dengan menimbangkan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Perkara penjarakan sosial (social distancing), perhimpunan, kebersihan diri dan sebagainya hendaklah digarabkan dalam sebarang aktiviti yang dijalankan. Elakkanlah Silat Gayong menjadi kluster baru punca penyebaran Covid 19. Hendaklah dikekalkan supaya pertubuhan ini berfungs sebagai agen masyarakat yang mendukung dan menyuburkan kesejahteraan dan keamanan masyarakat.


Dengan ini pihak Lembaga ingin menyeru kepada penganjur semua aktiviti Silat Gayong supaya dapat membangunkan kaedah baru mentadbir, mengajar dan menguruskan acara-adat istiadat dengan pendekatan kebiasaan baru bagi menyambung urusan menyebar luas pengajaran Silat Gayong kepada ummah manusia di dalam negara dan serantau agar selari dengan keperluan keadaan semasa

bottom of page