top of page

MENGURUS SSGM HARUS MENGGUNA PENDEKATAN BERSEMANGATKAN COMPLEMENTRY ANTARA SATU DENGAN LAIN

19 Dis 2019

Pengurusan pengembangan dan pembangunan Silat Seni Gayong Malaysia perlu mencakupi keseluruhan pentadbiran, kewangan, adat-istiadat dan pelajaran. Dengan demikian pengurusan itu tidak boleh dilakukan oleh Badan Adat bersendirian atau Pentadbiran bersendirian. Kedua-dua mesti bergerak bersekali atas semangat lengkap melengkapi dan sokong menyokong di antara satu dengan lain.


Dalam masa yang sama, pada hakikatnya perlu difahami bahawa menjadi murid Silat Seni Gayong tidak semestinya menjadi ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong. Syarat menjadi murid Silat Gayong ialah mesti melalui proses perlimau. Menjadi ahli Pertubuhan syaratnya ialah seorang murid Silat Gayong mengisi borang memohon untuk menjadi ahli. Seseorang murid boleh memilih untuk menjadi ahli Pertubuhan atau kekal menjadi hanya sebagai murid.


Apabila seorang pesilat itu telah melalui proses perlimau, maka berhaklah dia untuk belajar atau menuntut ilmu silat, meakai pakaian silat, mendapat bengkung mengikut tahap pelajaran dan menerima sandang jika dilantik untuk menjawat jawatan adat. Disamping itu jika murid silat menjadi ahli Pertubuhan, maka murid berkenaan layak menjadi perwakilan daerah/cawangan, negeri dan kebangsaan, serta mengundi dalam mesyuarat-mesyuarat pengurusan, mesyuarat agong dan memegang jawatan pentadbiran di organisasi pada peringkat penglibatannya.


Dalam erti kata lain seorang murid Silat Gayong adalah tertakluk kepada peraturan Adat, manakala seorang murid dan ahli pertubuhan Silat Gayong adalah tertakluk kepada Perlembagaan pertubuhan, tetapi dalam masa yang sama adalah dibawah tanggungjawab Adat kerana statusnya sebagai murid.


Bidang Adat merangkumi perkara adat istiadat dan perkara pelajaran Silat Seni Gayong. Justeru untuk memberi fokus pengembangan dan pembangunan bidang-bidang ini, maka diwujudkan Lembaga Beradat dan Majlis Gurulatih. Dalam hal mengurus Bidang Adat, Lembaga Beradat menjalankan kerja-kerja keurusetiaan badan ini. Ini membawa maksud sebarang penyampaian dasar yang diputuskan mengenai mengurus hal-hal adat ia membawa pengertian dasar itu terkena dan berkuatkuasa kepada kedua-dua Lambaga Beradat dan Majlis Gurulatih. Dalam hal ini Lembaga Beradat akan menjalankan tangungjawab sebagai urus setia yang mungkin melibatkan kerja-kerja menyampaikan atau melantik tetapi bukan mengarah.

Comments


bottom of page