top of page

PERTINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBACA AYAT AL QURAN GURULATIH

9 Jan 2022



Antara amalan dalam pengajaran Silat Seni Gayong kepada murid, ialah membaca Surah Al Ikhlas dan Surah Al Fatihah. Bacaan surah-surah ini dilakukan semasa memula dan menamatkan latihan. Lazimnya seseorang gurulatih mengandaikan semua muridnya boleh membaca kedua-dua surah ini, maka dalam setiap kali menjalankan latihan di gelanggang, gurulatih memula dan menamatkan latihan dengan memberi arahan supaya semua murid membaca Surah Al Fatihah (1x) dan Al Ikhlas (11x).


Amalan ini diyakini membawa keberkatan kepada sesi penyampaian dan penerimaan ilmu disamping kelebihan-kelebihan (pahala) membaca surah-surah ini kepada setiap murid. Namun begitu diingatkan bahawa syarat untuk menerima keberkatan dari amalan bacaan ayat-ayat suci Al Quran perlulah menjaga adat dan adab bacaannya. Membaca ayat-ayat Al Quran hendaklah tertib, iaitu menjaga sebutan makhraj huruf dan tajwidnya.


Kerap kali juga gurulatih dan murid melafazkan ayat-ayat surah secara cepat atas alasan nak memulakan latihan segera atau keletihan setelah menjalani latihan. Dengan bacaan sedemikian bacaan bukan sahaja terdorong kesilapan makhraj dan tajwid, bahkan juga melakukan kesilapan bacaan secara bersambung (wasal) antara ayat-ayat.


Dalam hal ini, maka adalah disarankan supaya semua gurulatih perlu disemak kesempurnaan dan kecekapan bacaan surah-surah yang dinyatakan dengan betul agar mereka pula dapat menyemak dan membetulkan bacaan murid-murid di gelanggang. Usaha hendaklah dilakukan segera dan hendaklah tidak mengambil sikap menunggu pihak lain bertindak. Apatah lagi jika mengambil sikap tengok dan lihat, kemungkinan besar isu ini akan hanya menjadi retorik dalam ucapan-ucapan populis.


Walaupun begitu tidak dinafikan adalah lebih baik jika pendekatan secara berpusat dan terancang dapat dikelolakan, kerana kesan gelombangnya besar dan semerta.


Selengkapnya gurulatih juga perlu disemak bacaan surah Al Masad dan Ayat Qursi, kerana surah dan ayat ini turut dibaca ketika di majlis Perlimau Tapak/Seni. Perhatikan supaya disamping lafaz huruf-huruf Qolkolaf, bacaan hendaklah disempurnakan kepada hukum tajwid seperti mad, idgham, izhar, ikhfaq dan lain-lain


Comments


bottom of page