top of page

SANDANG KHALIFAH MUDA BUKAN SANDANG ANUGERAH

30 Dis 2023



Kebelakang ini berlakunya penyampaian sandang Khalifah Muda kepada pesilat-pesilat yang belum pun bertaraf gurulatih.  Sedar atau tidak tindakan ini adalah satu pengkhianatan kepada sistem sandang Silat Seni Gayong, khususnya sistem Sandang Berjawatan.

 

Sekali diingatkan kepada gurulatih, terutamanya yang memimpin sesebuah akademi atau kelab, kuasa memberi sandang adalah kuasa Badan Adat Negeri.  Jika pun hendak menyampaikan sandang, ia amat tertakluk kepada bilangan gelanggang yang ada dibawah pentadbiran akademi atau kelab tersebut, dan kelayakan gurulatih yang dilantik untuk menerima sandang.

 

Seorang Khalifah Muda hendaklah dalam kalangan gurulatih yang telah berkhidmat menjadi seorang gurulatih sekurang-kurangnya 3 tahun, dan memegang sekurang-kurangnya bengkung Pelangi Merah Cula 3.  Dimaklumkan bahawa sandang berjawatan melambangkan kuasa dan tanggunjawab ke atas pelajaran, adat-istiadat, kewangan (adat) dan pentadbiran (adat) di gelanggang awasannya. 

 

Seorang Khalifah akan bertanggunjawab kepada 4 orang Khalifah Muda.  Ini bererti khalifah berkaitan mempunyai 4 gelanggang dibawahnya,  manakala seorang Khalifah Kanan bertanggungjawab kepada 4 orang Khalifah, iaitu bersamaan dengan 16 buah gelanggang yang dinaunginya. Seorang Khalifah Besar menaungi 4 Khalifah Kanan, iaitu 64 gelanggang.

 

Peranan seorang gurulatih ialah untuk melaksanakan latihan, manakala seorang Khalifah Muda ialah mentadbir dan mengawasi perjalanan gelanggang terutamanya pelajaran dan adat-istiadat.  Menentukan tata pakaian latihan, upacara buka dan tutup gelanggang, pelaksana acara Perlimau kepada setiap murid, majlis penyampaian bengkung, penyerahan duit fidyah perlimau serta menyelia gurulatih yang bertugas.  Jika sesebuah gelanggang mempunyai lebih dari seorang gurulatih maka gurulatih terkanan hendaklkah dilantik menjadi Khalifah Muda (mengikut syarat kelayakan yang dinyatakan di atas).

bottom of page